Open Community
Post to this Blog
« June 2005 »
S M T W T F S
1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30
You are not logged in. Log in

Berita Pilihan Bakong
Tuesday, 14 June 2005
Masyarakat Cina lahir sokongan terbuka kepada MB Kelantan

PASIR MAS, 13 Jun – Masyarakat Cina di sini melahirkan sokongan terbuka kepada kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya terus menerajui Kelantan.

Pemimpin masyarakat Cina, Ting Lai Hong berkata, penduduk keturunan Cina melahirkan rasa gembira tinggal di negeri ini kerana kerajaan negeri mengamalkan sikap tolak ansur.

“Beberapa tuntutan yang dikemukakan penduduk Cina termasuk mengenai tanah perkuburan dan melantik penghulu tanpa mukim dipertimbangkan kerajaan negeri.

“Penduduk Cina di sini menganggap Menteri Besar adalah ayah kepada masyarakat Tionghua sendiri kerana banyak membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya pada program Jalinan Mesra Antara Kaum peringkat jajahan Pasir Mas di sini, baru-baru ini.

Program julung kali diadakan di peringkat jajahan itu mendapat sambutan menggalakkan. Lebih 200 penduduk keturunan Cina dan Siam hadir pada program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar.

Hadir sama, anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh, Adun Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Penyelia DUN Tendong, Hamid Abdul Aziz, Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Pasir Mas, Mohd Yaman Mohamad dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus.

Ting Lai Hong yang juga bekas Penghulu Tanpa Mukim di Tendong berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia menyelesaikan masalah yang timbul membabitkan penduduk bukan Islam.

Beliau sebagai mewakili penduduk keturunan Cina mendoakan supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kesihatan yang baik oleh Tuhan bagi terus memimpin Kelantan.

Pada majlis yang sama beliau berharap kerajaan negeri mempertimbangkan pelantikan seorang lagi penghulu tanpa mukim di Chetok memandangkan kawasan tersebut mempunyai ramai penduduk Tionghua.

Sebagai jawapan kepada permintaan tersebut Menteri Besar berharap wakil masyarakat Cina di Chetok mengemukakan secara bertulis permohonan terbabit dengan menyatakan alasan-alasan yang munasabah.

Selain itu, beliau juga berkata, Islam menuntut penganutnya mengamalkan sikap berbaik-baik dengan jiran tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kalau ada jiran sakit kita hendaklah pergi menziarahi mereka. Ini kerana semua manusia adalah berasal daripada satu bapa dan ibu iaitu Nabi Adam dan Hawa,” katanya.

Malah menurutnya, beliau sudah dua kali datang ke rumah Ting Lai Hong kerana dijemput bagi menghadiri kenduri tanpa ada perasaan curiga. Beliau berkata, soal makan minum ketika berkunjung ke rumah orang Cina sudah difahami masyarakat itu dan mereka menyediakan makanan yang halal dan dimasak orang Islam.

Pada majlis itu juga beliau mencadangkan supaya diadakan program khusus yang mempertemukan beliau sebagai ketua kerajaan dengan sami-sami Buddha di sebuah wat Siam di Tumpat.

Katanya, sebagai seorang pemimpin beragama Islam beliau tidak rasa kekok berjumpa dengan sami Buddha atau paderi Kristian kerana mempunyai hampir persamaan dari aspek pemakaian.

“Sebagai tok guru saya sering berpakaian serban dan jubah. Begitu juga sami yang berjubah kuning dan paderi berjubah putih. Semua agama melarang perbuatan jahat seperti mencuri, rogol, khianat harta orang dan berjudi.

“Judi dilarang oleh semua agama kerana ia bergantung kepada nasib. Orang lulusan unversiti pun kalau berjudi tidak tentu boleh menang kerana ia bergantung kepada nasib. Cuma yang pasti mendapat untung hanya tauke sahaja,” katanya.

Sebab itu tambahnya, kerajaan Kelantan mengharamkan sama sekali kegiatan tersebut sejak mentadbir negeri ini hampir 15 tahun lalu.
- MJ

DiHantar bakong02 at 12:41 AM JST

View Latest Entries