Make your own free website on Tripod.com
 
Open Community
Post to this Blog
« April 2005 »
S M T W T F S
1 2
3 4 5 6 7 8 9
10 11 12 13 14 15 16
17 18 19 20 21 22 23
24 25 26 27 28 29 30
You are not logged in. Log in

Berita Pilihan Bakong
Wednesday, 13 April 2005
Setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar
Mood:  hungry
Topic: Berita
Setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar
Posted on Monday, April 11 @ 10:42:59 MYT
Topic: Malaysia
Petikan Bharian
KOTA BHARU: Seorang setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar seorang lelaki yang marah kerana gagal menjawat jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dalam satu kejadian di Tawang dekat Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, setiausaha sulit berusia 45 tahun, berasal dari Kubang Kerian, dikatakan sedang melakukan persiapan perasmian bangunan pusat khidmat Ahli Parlimen Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ishak Abd Majid, berkata tiba-tiba seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bergegas menghampirinya lalu menampar mangsa.

"Berikutan itu, mangsa mengalami sakit pada telinga dan kepala. Orang ramai yang berada di situ menghalang lelaki itu dan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tawang.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000," katanya di sini, semalam.

Ishak berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu bertindak demikian kerana gagal menjawat jawatan PPM selepas kalah dalam pemilihan yang berlangsung di bangunan itu, kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Ishak berkata, seorang peniaga cedera di pinggang kanan selepas diserang oleh seorang lelaki dengan bersenjatakan golok di Kampung Padang Taman, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang, mangsa berusia 33 tahun menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Peringat ke Kampung Kubang Laka, sebelum ditahan seorang lelaki yang dikenali berusia 45 tahun.

Katanya, lelaki terbabit tiba-tiba menyerang mangsa dengan sebilah golok dan terkena pada pinggang bahagian kanan.

"Mangsa kemudian menerima rawatan di klinik kesihatan Peringat sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami luka sepanjang 10 sentimeter dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Peringat dan siasatan awal mendapati lelaki yang menyerang itu marah terhadap mangsa kerana dikatakan bercakap mengenai dirinya yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya. Sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu," katanya. sumber//Bharian 10 April 2005



DiHantar bakong02 at 8:21 AM JST

View Latest Entries