Make your own free website on Tripod.com
 
Open Community
Post to this Blog
« October 2017 »
S M T W T F S
1 2 3 4 5 6 7
8 9 10 11 12 13 14
15 16 17 18 19 20 21
22 23 24 25 26 27 28
29 30 31
You are not logged in. Log in

Berita Pilihan Bakong
Tuesday, 14 June 2005
Jangan Lupa Temujanji kita -- Masjid RTB Bujal berjaya diroboh
Demo 19 Jun 2005 Jam 7.30 pagi di Wisma Darul Iman,Terengganu
SMS kan kepada 10 sahabat anda,semoga mendapat Ganjaran.Bantah Masjid RTB Bujal berjaya diroboh

KEMAMAN, 26 Mei (Hrkh) - Masjid Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bujal, Kemaman berjaya dirobohkan oleh pihak penguatkuasa kerajaan negeri Terengganu petang ini selepas penduduk kampung tidak lagi berada di situ.

Para penguatkuasa dengan dua jentolak ini masuk jam 2.30 petang dan mula merobohkan masjid itu jam 2.45 petang.

Jam 3.20 petang kerja-kerja meroboh itu selesai dan masjid itu menjadi padang dengan batu, kayu dan atapnya berselerakan.

Ketika penguatkuasa ini masuk, jalan-jalan masuk ke situ ditutup semuanya termasuk untuk pejalan kaki.

12 penguatkuasa dengan dikawal oleh kira-kira 100 FRU dan Pasukan Gerak Am (PGA) (12 terak semuanya) menggunakan dua jentolak dari Pejabat Daerah Kemaman dan Jabatan Parit dan Saliran untuk meroboh masjid itu.

Pagi tadi, selepas berjaya merobohkan 10 buah rumah, penduduk yang ramai berkumpul di situ berjaya memujuk para petugas agar jangan merobohkan masjid itu.

Pemandu jentolak yang diarahkan untuk merobohkannya juga tiba-tiba pitam dan terpaksa diusung oleh penduduk kampung ke masjid itu.

Setelah berehat, beliau pulih kembali.

Selepas itu, semua penguatkuasa kerajaan itu meninggalkan kawasan itu diikuti oleh orang ramai.

Namun, selepas tinggal hanya sedikit sahaja penduduk kampung di situ dan dengan anggapan ia tidak dirobohkan, para penguatkuasa ini masuk kembali dan menyodok bangunan masjid itu sehingga hancur semuanya.

"Saya tidak pernah berjumpa lagi dengan orang yang jahat seumpama ini," kata Dato' Mustafa Ali, Timbalan Pesuruhjaya PAS kepada Harakah.

Mustafa adalah bekas Exco kerajaan negeri Terengganu sebelum ini.

Ketika Terengganu di perintah oleh PAS, beribu-ribu rakyat Terengganu diberikan hak milik tanah termasuk di RTB Bujal ini.

Namun selepas diambil alih oleh Barisan Nasional (BN), kerajaan negeri memutuskan pemberian itu tidak sah dan menyifatkan penduduk ini meneroka tanah secara haram.

Pelbagai alasan dibuat bagi memastikan kerajaan boleh mengambil balik tanah ini dari rakyat Terengganu yang mendapat tanah itu.
-AYU/KA/zs

DiHantar bakong02 at 12:54 AM JST
Tok Guru selar asas pemikiran sekular yang dicetus Najib
MURSYIDUL AM PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat menganggap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak yang mahu pemimpin PAS mengelak perkara menyentuh soal akidah sebagai asas pemikiran sekular.

Beliau berkata, orang yang berfahaman sekular hidup di dunia kerana dilahirkan ibunya semata-mata, tanpa mempunyai sebarang tujuan yang jelas.

“Hidup hanya cari makan, berumahtangga, berkeluarga dan mati. Mereka hanya tunggu mati, sedangkan orang Islam tanpa mengira bangsa, sama ada Melayu, Cina, India dia sentiasa sedar.

“Kalau pergi ke tandas ada tujuannya. Pergi ke pasar ada tujuannya. Pergi ke ladang ada tujuannya, maka kita datang ke dunia ini, kerana Allah mencipta dengan ada tujuan tertentu,” katanya di sini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Dato’ Seri Najib Tun Razak yang dilaporkan berkata, pemimpin PAS perlu lebih bertanggungjawab dalam meraih sokongan dan mengelak perkara yang menyentuh soal akidah.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tujuan dicipta manusia ialah sebagai ‘khalifah fil ardi’ iaitu mengurus hal ehwal agama di muka bumi.

Kata beliau tiap-tiap manusia muslim hidup di dunia bagi mengurus kerja-kerja Allah iaitu menunaikan suruhan dan meninggalkan laranganNya.

“Hasil daripada itulah perkara pertama yang perlu dilakukan orang Islam ialah menyentuh aspek akidah. Akidah mengandungi tiga perkara kasar iaitu ketuhanan yang mesti dijunjung, kenabian yang mesti diikuti dan kebangkitan semula.

“Di akhirat kelak akan menerima balasan. Kalau kita setia dengan Allah akan dibalas dengan syurga. Dan kalau tidak setia dengan Allah akan dibakar hidup-hidup dalam neraka,” ujarnya.

Oleh itu menurutnya, orang yang tidak mementingkan soal akidah sebenarnya mereka tidak faham tujuan sebenar hidup.

DiHantar bakong02 at 12:47 AM JST
Masyarakat Cina lahir sokongan terbuka kepada MB Kelantan

PASIR MAS, 13 Jun – Masyarakat Cina di sini melahirkan sokongan terbuka kepada kepemimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya terus menerajui Kelantan.

Pemimpin masyarakat Cina, Ting Lai Hong berkata, penduduk keturunan Cina melahirkan rasa gembira tinggal di negeri ini kerana kerajaan negeri mengamalkan sikap tolak ansur.

“Beberapa tuntutan yang dikemukakan penduduk Cina termasuk mengenai tanah perkuburan dan melantik penghulu tanpa mukim dipertimbangkan kerajaan negeri.

“Penduduk Cina di sini menganggap Menteri Besar adalah ayah kepada masyarakat Tionghua sendiri kerana banyak membantu menyelesaikan masalah mereka,” katanya pada program Jalinan Mesra Antara Kaum peringkat jajahan Pasir Mas di sini, baru-baru ini.

Program julung kali diadakan di peringkat jajahan itu mendapat sambutan menggalakkan. Lebih 200 penduduk keturunan Cina dan Siam hadir pada program tersebut yang turut dihadiri Menteri Besar.

Hadir sama, anggota Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ismail Nuh, Adun Pengkalan Pasir, Wan Abdul Aziz Wan Jaafar, Adun Chetok, Ustaz Abdul Halim Abdul Rahman, Penyelia DUN Tendong, Hamid Abdul Aziz, Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat Pasir Mas, Mohd Yaman Mohamad dan Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Yunus.

Ting Lai Hong yang juga bekas Penghulu Tanpa Mukim di Tendong berkata, kerajaan negeri sentiasa bersedia menyelesaikan masalah yang timbul membabitkan penduduk bukan Islam.

Beliau sebagai mewakili penduduk keturunan Cina mendoakan supaya Tuan Guru Nik Abdul Aziz diberi kesihatan yang baik oleh Tuhan bagi terus memimpin Kelantan.

Pada majlis yang sama beliau berharap kerajaan negeri mempertimbangkan pelantikan seorang lagi penghulu tanpa mukim di Chetok memandangkan kawasan tersebut mempunyai ramai penduduk Tionghua.

Sebagai jawapan kepada permintaan tersebut Menteri Besar berharap wakil masyarakat Cina di Chetok mengemukakan secara bertulis permohonan terbabit dengan menyatakan alasan-alasan yang munasabah.

Selain itu, beliau juga berkata, Islam menuntut penganutnya mengamalkan sikap berbaik-baik dengan jiran tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kalau ada jiran sakit kita hendaklah pergi menziarahi mereka. Ini kerana semua manusia adalah berasal daripada satu bapa dan ibu iaitu Nabi Adam dan Hawa,” katanya.

Malah menurutnya, beliau sudah dua kali datang ke rumah Ting Lai Hong kerana dijemput bagi menghadiri kenduri tanpa ada perasaan curiga. Beliau berkata, soal makan minum ketika berkunjung ke rumah orang Cina sudah difahami masyarakat itu dan mereka menyediakan makanan yang halal dan dimasak orang Islam.

Pada majlis itu juga beliau mencadangkan supaya diadakan program khusus yang mempertemukan beliau sebagai ketua kerajaan dengan sami-sami Buddha di sebuah wat Siam di Tumpat.

Katanya, sebagai seorang pemimpin beragama Islam beliau tidak rasa kekok berjumpa dengan sami Buddha atau paderi Kristian kerana mempunyai hampir persamaan dari aspek pemakaian.

“Sebagai tok guru saya sering berpakaian serban dan jubah. Begitu juga sami yang berjubah kuning dan paderi berjubah putih. Semua agama melarang perbuatan jahat seperti mencuri, rogol, khianat harta orang dan berjudi.

“Judi dilarang oleh semua agama kerana ia bergantung kepada nasib. Orang lulusan unversiti pun kalau berjudi tidak tentu boleh menang kerana ia bergantung kepada nasib. Cuma yang pasti mendapat untung hanya tauke sahaja,” katanya.

Sebab itu tambahnya, kerajaan Kelantan mengharamkan sama sekali kegiatan tersebut sejak mentadbir negeri ini hampir 15 tahun lalu.
- MJ

DiHantar bakong02 at 12:41 AM JST
Wednesday, 13 April 2005
Setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar
Mood:  hungry
Topic: Berita
Setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar
Posted on Monday, April 11 @ 10:42:59 MYT
Topic: Malaysia
Petikan Bharian
KOTA BHARU: Seorang setiausaha sulit timbalan menteri cedera ditampar seorang lelaki yang marah kerana gagal menjawat jawatan Penyelia Pembangunan Mukim (PPM) dalam satu kejadian di Tawang dekat Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, setiausaha sulit berusia 45 tahun, berasal dari Kubang Kerian, dikatakan sedang melakukan persiapan perasmian bangunan pusat khidmat Ahli Parlimen Dewan Undangan Negeri (DUN) Tawang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Ishak Abd Majid, berkata tiba-tiba seorang lelaki berusia lingkungan 40-an bergegas menghampirinya lalu menampar mangsa.

"Berikutan itu, mangsa mengalami sakit pada telinga dan kepala. Orang ramai yang berada di situ menghalang lelaki itu dan mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Tawang.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera dengan sengaja dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda RM2,000," katanya di sini, semalam.

Ishak berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu bertindak demikian kerana gagal menjawat jawatan PPM selepas kalah dalam pemilihan yang berlangsung di bangunan itu, kelmarin.

Dalam perkembangan berasingan, Ishak berkata, seorang peniaga cedera di pinggang kanan selepas diserang oleh seorang lelaki dengan bersenjatakan golok di Kampung Padang Taman, kelmarin.

Beliau berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7 petang, mangsa berusia 33 tahun menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari Peringat ke Kampung Kubang Laka, sebelum ditahan seorang lelaki yang dikenali berusia 45 tahun.

Katanya, lelaki terbabit tiba-tiba menyerang mangsa dengan sebilah golok dan terkena pada pinggang bahagian kanan.

"Mangsa kemudian menerima rawatan di klinik kesihatan Peringat sebelum mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian," katanya.

Beliau berkata, mangsa mengalami luka sepanjang 10 sentimeter dan keadaannya kini dilaporkan stabil.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Peringat dan siasatan awal mendapati lelaki yang menyerang itu marah terhadap mangsa kerana dikatakan bercakap mengenai dirinya yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

"Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera dengan jalan menggunakan senjata atau lain-lain benda yang merbahaya. Sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada seksaan itu," katanya. sumber//Bharian 10 April 2005



DiHantar bakong02 at 8:21 AM JST
Kehidupan malam KL dan UK
Mood:  cool
Topic: Pendapat
Kehidupan malam KL dan UK
Posted on Sunday, April 10 @ 11:33:34 MYT
Topic: Malaysia
Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

SEORANG ibu yang saya temui semasa menyertai satu program anjuran Jabatan Penuntut Malaysia London minggu lepas, menyatakan bahawa anak remajanya yang berada bersamanya di Manchester, tempat dia sedang menyiapkan tesis doktor falsafahnya, tidak pernah keluar rumah pada waktu malam semasa berada di sana. Tetapi ketika kembali ke Kuala Lumpur masa cuti baru-baru ini, anaknya itu boleh dikatakan setiap malam meminta kebenarannya untuk keluar malam.



Di bandar raya tempat kediamannya di United Kingdom (UK) tersebut, pada waktu malam tidak ada ``kehidupan'' di dalam bandar, atau di jalan-jalannya. Kebanyakan kedai menutup pintunya sebelum menjelang waktu maghrib, bukan kerana penjaganya hendak bersembahyang maghrib, sebab kebanyakan mereka bukanlah beragama Islam, tetapi kerana masa berniaga di sana, hanyalah sekadar pukul 6 atau 7 malam. Selepas itu kedai ditutup, tiada perniagaan lagi.

Itulah gambaran kehidupan malam di UK pada keseluruhannya. Malah di kota raya London yang terkenal dengan kesibukannya itu pun, kedai dan gedung perniagaannya pada umumnya, menutup pintunya pada pukul 6 atau 7 malam. Jalan raya yang terkenal dengan syurga membeli-belahnya kepada para pelancong tempatan dan luar negara, termasuk pelancong dari negara kita, seperti Oxford Street, lengang menjelang malam, atau lewat petang.

Bagi sesetengah kalangan, hal ini menunjukkan kemalasan orang putih untuk berniaga, tetapi bagi orang-orang seperti ibu yang saya maksudkan di atas, hal ini agak sihat di dalam masyarakat moden yang amat canggih dan mencabar ini. Apa gunanya berniaga dan mendapatkan keuntungan yang banyak, sekiranya hal itu membawa kepada satu gejala yang dapat mengorbankan nilai-nilai murni kehidupan, apa lagi bagi masyarakat beragama seperti kita ini?

Sebab itulah, ibu yang saya sebutkan di atas, menyatakan bahawa anak remajanya pada waktu malam di rumahnya di UK, akan berada di rumah, menonton televisyen, melayari komputer, membaca buku pelajaran dan sebagainya. Atau kalau tidak ada apa yang hendak dibuatnya, maka dia akan segera menarik selimut, belayar dalam alam mimpi, terutamanya ketika berada di dalam bilik yang dingin, pada musim sejuk.

Tetapi ketika balik ke Malaysia kerana menghabiskan cuti, kepala ibu menjadi pening, kerana hampir setiap malam anaknya itu akan meminta kebenarannya untuk keluar malam bersama kawan-kawannya. Di UK anaknya mempunyai kawan sebaya juga, tetapi dia tidak pula sibuk untuk keluar dengan rakannya itu, malah rakannya juga tidak akan keluar pada waktu malam, kerana seperti yang dinyatakan di atas, di sana tidak ada kehidupan malam. Tidak ada restoran 24 jam, tidak ada gerai yang menjual nasi lemak atau roti canai, dan tidak ada gerai untuk mereka lepak-lepak berbual sampai pagi, pukul tiga atau empat, sambil minum-minum teh tarik atau Coca-Cola.

Di UK ibu remaja tersebut juga dapat menumpukan perhatian sepenuhnya kepada kajian dan tesis Ph.Dnya tanpa risau atau bimbang dengan keselamatan anaknya, kerana anaknya berada di dalam rumahnya mulai dari waktu senja sehingga pagi esok. Tetapi di Malaysia, kalau anaknya tidak minta keluar pada waktu malam, rakan-rakannya pula yang akan menelefonnya mengajak keluar. Waktu yang dipilihnya untuk keluar malam itu pula, bukan pada pukul 8 atau 9 malam, tetapi kebanyakannya, pada pukul 10 atau 11 malam baru mula nak pakai baju untuk keluar. Keluarnya pula bukan sejam dua, tetapi sampai berjam-jam, kadang-kadang menjelang azan subuh baru pulang keletihan dan mengantuk. Ketika itu hanyalah bantal yang menjadi temannya, dan segala azan atau subuh akan dibiarkan berlalu begitu sahaja, kerana badannya terlalu letih, dan matanya tidak mampu dibuka lagi.

Apabila orang mulai tidur pada pukul 4, 5 atau 6 subuh, tentulah dapat dibayangkan pukul berapa baru dia dapat bangun. Malah dapatlah juga dibayangkan bagaimanakah beratnya kepala dan badan orang yang bertindak demikian, kerana dia sebenarnya telah melanggar sunah alam, iaitu kejadian siang dan malam yang dijadikan Allah untuk tidur dan jaga.

Allah menjadikan malam untuk manusia berehat dan tidur, dan siang ialah untuk berjaga dan bekerja, kerana kejadian fizikal serta fitrah manusia pun telah diprogramkan begitu oleh sunah alam, maka ketika manusia menukar fitrah kejadian Allah itu, kehidupannya tentulah tidak normal dan seimbang lagi.

Memang suasana sekeliling yang sebenarnya mencorakkan kehidupan kita manusia ini. Di London tidak ada gerai untuk kita melepak, tetapi di Bangsar atau Sri Hartamas, terlalu banyak gerai yang menarik kehadiran generasi tua dan muda untuk berjaga malam. Di London, bar atau pubnya, kebanyakannya hanya dibuka sehingga pukul 11 malam, tetapi di Bangsar dan tempat-tempat lain, mungkin dibuka sehingga pukul 2 atau 3 pagi. Kalau undang-undang mengatakan mereka boleh membuka hingga pukul 2 pagi umpamanya, mereka cuba-cuba juga membukanya hingga pukul 3 atau 4 pagi, kerana biasanya pihak berkuasa tidak menghantar penguat kuasanya untuk melihat sama ada para peniaga itu mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan ataupun tidak.

Di London dan bandar-bandar lain juga di UK, orang yang meminum minuman ringan atau arak, nampaknya senyap-senyap saja di dalam kedai minuman, kerana mereka tidak boleh membawa minuman itu keluar premis yang ditetapkan. Tetapi di bandar ala Amerika atau New York negara kita, semua orang yang berjalan di atas jalan, dapat melihat orang meminum minuman keras atau ringan di dalam kedai minum, atau kadang-kadang kelihatan kelibat manusia berjalan, atau berarak di tengah jalan dengan botol atau tin minuman keras di tangannya.

Inilah suasana dan persekitaran yang merunsingkan kebanyakan ibu bapa yang mempunyai anak remaja sekarang ini di negara kita, seperti yang diceritakan oleh ibu di atas, khususnya di bandar-bandar yang telah dicorakkan sebegitu rupa, supaya kelihatan seperti bandar koboi, atau yang bersuasana kota uncle tom.

Bagi sesetengah golongan, mungkin hal ini tidaklah merupakan isu besar yang merunsingkan. Apa salahnya budak-budak muda itu keluar berhibur dan sembang-sembang dengan rakan sebayanya sepanjang malam, sambil minum teh tarik?

Malah bagi sesetengah ibu bapa moden pun, mungkin mereka beranggapan, apa salahnya anak-anak saya berada di luar, sama ada di gerai minum Coca-Cola, atau di kelab malam berhibur? Saya tahu anak saya berada dalam kelab malam, dan dia selamat di sana, malahan dia berjanji dengan saya akan balik ke rumah pada pukul 3 pagi, jadi apa yang hendak dirisaukan, dia berada di tempat yang selamat, bukan di atas jalan?

Tetapi bagi ibu yang berada di Manchester itu, dia mempunyai pandangan yang amat berlainan. Bila pulang ke Malaysia, dia risau anaknya terpengaruh dengan unsur jahat di luar, takut terlibat dalam permainan jahat, cuba-cuba minum Coca-Cola atau air syaitan, hisap itu atau hisap ini, hidu itu atau hidu ini, dan takut juga bila keluar dari tempat minum, ditangkap pula oleh jabatan agama Islam, bukankah malu dibuatnya? Atau kalau tidak ditangkap jabatan agama yang menjadi polis moral yang mengacau daun itu pun, mungkin pula anaknya itu menumpang kereta mewah kawannya, yang dipandu secara gila-gila, seterusnya berlanggar dan mengorbankan nyawa anaknya itu? Bukankah hal ini memeningkan kepala ibu tersebut?

Seterusnya dia takut pula, kesihatan anaknya terganggu, kerana tabiat tidur dan jaganya tidak mengikut fitrah kejadian dan biologikal manusia lagi, yang pada jangka panjangnya tentu akan menyebabkan mudarat kepada badan dan pemikiran, fizikal dan mentalnya. Malah lebih dari itu, dia risau juga kerana anaknya tak dapat sembahyang subuh, sebab bagaimana nak bangun subuh, kalau pukul 3 atau 4 baru nak tidur?

Oleh itu, katanya, lebih baik dia tinggal di negara orang putih ini saja. Tak payah risau dan susah hati, tidak pening kepala dan tak perlu fikir yang bukan-bukan, seperti yang dialaminya di Malaysia ketika anaknya keluar malam dan tidak pulang-pulang hingga dinihari. Dia sendiri tidak dapat tidur malam, dan bukan hanya tidak dapat tidur, malah fikirannya juga menjadi runsing dan buntu, mana nak fikirkan hal tesisnya yang belum selesai, ditambah pula dengan perilaku anaknya yang melampau itu. Kalau tidak dibenarkan anaknya keluar di negara sendiri, nampak macam tidak adil pula, tambahan pula dia balik bercuti sekali-sekala sahaja, bukan selalu, dan peluang anaknya berjumpa kawan-kawannya pula hanyalah semasa balik cuti itu.

Saya hanya mendengar saja ceritanya itu, kerana saya ke sana bukanlah sebagai pakar runding cara, atau pakar motivasi. Tetapi terlintas juga di kepala saya, takkanlah pula kita yang berada di negara sendiri, beramal, beragama dan berbudaya serta berbudi bahasa, akan lari ke negara Barat yang pesimis, negara orang tidak beragama dan tidak beriman, malah negara yang sentiasa kita anggap jahat itu?

Sehingga saya selesai menulis catatan ini, saya masih tidak tahu, bagaimanakah keadaan yang kusut ini hendak kita rungkaikan. Bagaimanakah kecelaruan perasaan hati kecil seperti hati kecil ibu yang prihatin ini dapat kita tolong redakan. Dia berkata juga bahawa dia takut sekiranya pengalaman dan kerisauan ini berterusan, mungkin satu hari dia akan mendarat di dalam klinik psikiatri kerana mengalami penyakit kemurungan dan tekanan jiwa yang hebat!

Namun kalau dia hendak terus tinggal di UK pula, dia tidak akan dibenarkan berbuat demikian, kerana dia sedang memakan wang universiti yang menyara dan membelanjakannya untuk mendapatkan ijazah tinggi itu, ertinya mahu tidak mahu, dia mestilah pulang ke negara sendiri.

Oleh itu persoalan yang ditimbulkannya, apa mungkinkah bila dia pulang nanti keadaan di sekelilingnya, khususnya pada waktu malam akan berubah? Mungkinkah cara hidup dan budaya kehidupan malam di negara sendiri yang kelihatan tidak terkawal itu akan mempunyai disiplin dan batas-batas tertentu yang tidak memberikan ruang kebebasan yang begitu banyak kepada generasi muda untuk mengubah sunah Allah dalam memanfaatkan siang dan malamnya?

Saya berfikir, sekiranya pun hendak diadakan perubahan yang radikal, maka siapakah pula yang akan mengadakan perubahan itu? Jabatan agama? Kerjanya sebagai ``polis moral'' tidak diperlukan lagi oleh banyak kalangan. Akta moral? Akta itu telah didesak supaya dimansuhkan. Ibu bapa? Ibu bapa pun, ada yang suka kehidupan dan gaya hidup anak mudanya seperti itu. Jadi siapa? Hanya Allah sahaja yang lebih mengetahui, wallahualam bissawab.


DiHantar bakong02 at 8:19 AM JST
Updated: Wednesday, 13 April 2005 8:19 AM JST
Friday, 4 March 2005
MADAH BERHELAH (BELA DIRI) KHIR TOYO
Oleh Tun Paduka Tuan (Laman M@RHAEN)
Lalu bermadah dan berkicaulah Khir Toyo, twit? twit?twit? mengatakan keadaan Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam dalam keadaan sihat sejahtera dan Alhamdulillah, adanya.

Tidak ada apa-apa kerosakan ke atas taman berkenaan. Tidak ada juga pencerobohan ke atas taman seluas 800 hektar seperti mana yang dihebohkan. Serentak itu Khir mencabar (mereka yang membuat tuduhan) dan orang ramai agar datang setiap hari ke taman berkenaan, melihat sendiri apa yang berlaku di sana.

Khir nampaknya berani dan begitu konfiden dengan penjelasannya itu. Dia seperti sedikit pun tidak merasa cemas dan juga kecut perut dengan apa yang didedahkan itu (meskipun kepulangan secara mendadak dari luar negeri itu menunjukkan beliau tidak senang duduk dan sakit perut semasa di sana).

Beliau lantas terus membela dirinya dan tetap menegaskan dan menjelaskan bahawa taman itu tidak terjejas. Bukan itu sahaja, keluasan tanah hutan simpan kekal itu juga sudah berkurang daripada 3,145 ekar pada awalnya, kini tinggal 2,116 ekar. Katanya walaupun sebelum ini status taman pertanian itu direvoked (ditarik balik), tetapi beliau lepaskan semula dan mengekalkan status seperti yang ada hari ini.

Apapun usaha dan budi murni Khir Toyo itu perlu disanjung tinggi. Khir nampaknya bersikap mesra alam dan berusaha mengekalkan taman berkenaan yang akan menjadi pesaka alam (?warisan bangsa?) seperti mana asal diwujudkan. Khir juga menyatakan sayangnya dia kepada taman berkenaan. Selalu juga berjogging ke situ? (Ada apa-apa ke berjogging di situ?)

Namun dalam jawapan itu serta melihat kepada body language Khir dalam memberi penjelasan ke atas masalah itu ada beberapa perkara yang menjadi kemusykilan. Situasi ini menjadikan seolah ada sesuatu yang masih belum di?celar? sepenuhnya. Masih ada yang tesangkut dan tertutup.

Misalnya Khir tidak menafikan projek di sekeliling bukit (U10) yang menjejaskan taman berkenaan. Beliau hanya bercerita dan menegaskan bahawa taman itu tidak diceroboh dan masih wujud. Itu sahaja. Beliau mengalih pandangan dengan memberi tumpuan kepada Taman Botani itu sedangkan perkara pokok yang didedahkan ialah mengenai projek pembangunan di U10.

Memanglah taman pertanian itu masih ada, tidak ke mana. (Cuma sudah rosak dan musnah sahaja) Tetapi apa yang dipertikaikan ialah projek di sekelilingnya sehinggakan meratah sempadan taman itu dan menjejaskan ekologinya yang dihebohkan.

Khir tidak mengulas perkara itu, malah secara tidak langsung mengakui apa yang dilaporkan itu bahawa berlaku projek bersifat Firaun dan Haman di situ. Patutnya Khir membuat penjelasan berhubung bagai mana projek itu diuruskan. Berlaku penarahan bukit kelas 4, penerokaan kawasan yang belum diluluskan. Inilah yang menarik dan ingin diketahui.

Motif pendedahan itu juga adalah untuk mengetahui perkara itu sementara soal Bukit Cahaya Seri Alam itu sebagai alasan atau model sahaja. Kesimpulan yang ingin diketahui umum mengenai hal itu ialah beberapa perkara beriktu:

1. Kenapa tidak ada pemantau ke atas projek berkenaan sehinggakan menjejaskan alam sekitar?
2. Kenapa tidak diambil tindakan kepada syarikat yang melakukan kesalahan walaupun diberikan amaran lebih dari tiga kali?
3. Kenapa begitu banyak syarikat (35) yang diberikan kebenaran menjalankan projek berkenaan?
4. Siapakah pemilik projek berkenaan dan berapa keluasan tanah yang diluluskan serta berapa nilai semasanya?
5. Di zaman (MB) siapakah tanah itu diluluskan?
6. Apakah kalau tidak ada pendedahan itu kerajaan Khir atau kerajaan Selangor akan bertindak?
7. Apakah segala projek itu mendapat kelulusan dari Ikram atau pun pihak berkuasa alam sekitar lain?

Khir dan kerajaan Selangor harus menjelaskan perkara ini dengan sejelas-jelasnya. Beliau tidak perlu menyembunyikan apa-apa fakta. Segala maklumat dan fakta itu perlu disenaraikan dan didedahkan kepada umum. Kalau boleh ditampalkan di semua tempat awam di Selangor dan juga Kuala Lumpur.

Mungkin satu kertas putih juga perlu disediakan oleh Dewan Undangan Negeri Selangor bagi menjelaskan perkara ini kepada rakyat secara rasmi dan lebih bertanggungjawab.

Dengan berbuat demikian sahajalah baru orang boleh mempercayai ketulusan Khir dan para anggota Exconya. Kalau setakat mengakui hatta bersumpah dengan nama Tuhan sekali pun orang tidak akan mempercayai Khir.

Sejarah masa lampau yang menimpa beberapa orang Menteri Besar dan menteri di dalam Umno tidak pernah padam dari ingatan orang ramai.

Apabila seseorang Menteri Besar atau menteri dihimpit masalah, mereka akan melepaskan diri dengan apa cara sekali pun termasuklah menafi dan bersumpah. Namun akhirnya terpaksa juga mengaku apabila tembelang mereka terus busuk dan memburuk sehingga melampaui semua ceruk negeri.

Sebenarnya opera Cina di Selangor ini semakin mendebarkan Khir Toyo. ? Reformasi.

Tun Paduka Tuan - 03.03.2005 (suntingan M@RHAEN - Emel: marhaen@gmail.com / reformasi@gmail.com)



DiHantar bakong02 at 7:26 AM WST
Dimanakah Kuasa Melayu Pulau Pinang ?
oLEH:amirulreza
Assalamualaikum w.b.t
Kajang Pak Malau Kajang Berlipat,
Kajang Hamba Mengkuang Layu,
Dagang Pak Malau Dagang Bertempat,
Dagang Hamba Menumpang Lalu.

Itulah antara rangkap pantun madah yang digunakan oleh Nordin Ahmad sebagai Damak dalam filem Sri Mersing. Bagi golongan yang lama mahupun yang baru yang meminati filem-filem klasik, pasti mengerti maksud yang tersirat disebalik dialog Nordin Ahmad itu. Jika kita sesuaikan dengan iklim Malaysia sekarang ini, saya rasa ia masih relevan untuk digunapakai oleh kaum Melayu yang kian ?terdesak? untuk hidup ditanahairnya sendiri, yang kian ?lupa? akan apa yang dialami oleh mereka dari sehari ke sehari. Disini saya ingin fokuskan kepada Melayu Pulau Pinang kerana kini saya sedang menjadi perantau di sini, demi segulung ijazah.

Saya pasti wujud sesetengah antara kita yang sudah tahu fenomena kaum Melayu Pulau Pinang yang kian kronik dari hari ke hari. Ataupun sudah wujud golongan yang ?letih? untuk menyentuh dilemma ini kerana bagi mereka, ?dayung sudah terlepas dari tangan, perahu makin hanyut ke samudera yang luas?. Memang benarlah kepada sesiapa yang berfikir sedemikian rupa, namun tujuan saya kali ini adalah untuk menceritakan apa yang saya rasa dan saya lihat, selama saya berdiri di bumi Pulau Pinang ini sebagai duta kecil Kelantan ke Pulau Pinang.

Jika kita melangkah ke Pulau Pinang, kita seolah-olah mengelamun sejenak. Tanah Seberang Prai dan tanah di pulau sana jauh berbeza. Di tanah Seberang Prai, orang melayu masih gagah bertapak walaupun bangunan-bangunan yang tinggi memang dipunyai oleh bangsa lain.Kadang-kadang saya terfikir mungkin inilah pembangunan yang di idam-idamkan oleh orang melayu di sana. Kita hanya bangga untuk melihat bangsa lain berniaga dengan mendapat kesenangan yang melimpah-ruah, sedangkan wujud segolongan kita yang masih setia untuk di kedai-kedai kopi membincangkan isu semasa yang tidak menguntungkan diri sendiri. Jika wujud seseorang yang maju berbanding mereka, cepat-cepat kita merancang strategi untuk ?memufliskan? mereka. Saya akui, memang melayu di Malaysia berperangai sebegitu?!!!

Apa yang membezakan antara Pulau Pinang dengan tempat lain. Melayu seolah-olah lumpuh untuk menjadi ?kuasa besar? ditanah tumpah darahnya sendiri. Malah, akibat tekanan tertentu, mereka lebih rela menjual tanah mereka di sana kepada orang cina yang pasti lebih untung berbanding menjualkan kepada kerajaan yang mengambilnya yang pasti akan mendapat pampasan yang rendah. Selepas itu, bertebaranlah mereka di Seberang Prai atau Perak untuk memulakan penghidupan mereka yang baru. Selepas itu, ?that?s it? tiada gelombang yang beralun untuk bangkit dibumi mereka sendiri. Betapa baiknya bangsaku. Malah fenomena ini tidak dapat dibaiki walaupun Perdana Menteri Malaysia sekarang adalah Melayu Pulau Pinang. Bukanlah saya ingin mencetuskan sentiment perkauman tapi saya *****a berasa hairan dengan fenomena yang berlaku dengan bangsa melayu di Pulau Pinang. Malah kawan saya yang berasal dari pulau Pinang dengan bengganya menampalkan puisi yang diucapkan oleh Pak Lah di dinding sambil berkata, ?Inilah pemimpin yang paling hebat dalam sejarah hidupku !!?.

Apabila kita sampai di Butterworth, dapatlah kita dapat kelibat bangsaku yang aktif sebagai pengusaha bas dan teksi yang ?berjaya? di Pulau Pinang. Maka bergemalah suara mereka menarik pelanggan untuk mendapatkan rezeki yang hanya secupak *****a di perkarangan runtuhan stesen bas, berbekalkan kanopi sementara sebagai stesen teksi dan berbumbungkan jambatan yang digunakan oleh pengguna yang berkenderaan yang mahu ke seberang menggunakan feri sebagai stesen-stesen bas sementara. Di suatu sudut pula wujud kompleks gerai sementara untuk pengusaha-pengusaha makanan yang majoritinya orang melayu. Namun, bangunan-bangunan canggih disekeliling mereka bukanlah milik bangsa mereka. Bangganya kemajuan yang mereka impi-impikan selama ini.

Berbekalkan duit 60 kupang dapatlah kita menaiki feri yang bermacam jenis namanya contohnya Pulau Undan. Di dalam feri itu, dapatlah kita melihat penjual roti yang tidak jemu-jemu memberikan perkhidmatan yang terbaik. Betapa gigihya bangsa lain berniaga di atas feri yang berulang alik dari tanah seberang prai ke tanah pulau di seberang sana. Bila kita tiba di tanah pulau, seolah-olah kita sedang berada di tanah yang bukan milik kita. Bangunan-bangunan lama yang diberi nafas baru terus menguasai pulau itu, walaupun tidak dinafikan wujud bangunan-bangunan baru dan besar ditanah yang lapang yang dahulunya milik melayu. Bangganya mereka, itulah kemajuan namanya !!!

Di komtar pula, kita akan merasakan seolah-olah peniaga melayu pupus di sana. Begitu juga halnya dengan Prangin Mall yang kian mengambil alih popularity yang dipunyai oleh Komtar. Sambil berbangga, kawanku berkata, ?Maju sungguh Negeri Pulau Pinang?. Memang benar, Pulau Pinang maju, tapi apa yang dipunyai oleh bangsa melayu melainkan melihat-lihat barangan yang mahal tanpa mampu untuk membelinya. Jika mampu pun hanya beberapa kerat *****a. Majoritinya, bangsa lain yang menguasai permis-permis yang wujud di Prangin Mall mahupun Komtar. Jika inilah yang kita bangga-banggakan, maka sudah pasti kita akan terus pupus di bumi itu.

Jika kita bandingkan dengan negeri yang dianggap termiskin di Malaysia seperti Kelantan atau Terengganu, memang dari segi bangunan pencakar langit tidaklah sehebat di Pulau pinang mahupun Kuala Lumpur, namun setidak-tidak pun bangsa kita masih memiliki kuasa ekonomi ditanahair mereka sendiri. Apa yang kita dapat seandainya kita hanya mampu mendongak ke langit melihat bangunan pencakar langit sedangkan itu bukan milik kita. Apa guna kita melihat golongan 20-an berniaga di kompleks-kompleks membeli belah seperti Komtar atau Prangin Mall sedangkan kita hanya membeli barang-barang hanya linkungan RM 500.00 *****a sedangkan mereka mendapat keuntungan yang berganda hasil sumbangan duit kita.

Saya akui kebanyakan kita akan memilih layanan perkhidmatan dari bangsa lain kerana mereka bersungguh-sungguh untuk memuaskan hati kita, komited, dan pandai mengambil hati pelanggan dengan ?service? yang ditawarkan oleh mereka. Sedangkan bangsa kita mengambil sikap acuh tak acuk terhadap pelanggan mereka, cepat bangga diri apabila mendapat keuntungan yang hanya secebis *****a. Tapi itulah kejayaan yang berjaya digarapkan oleh dasar yang diperjuangkan oleh UMNO sejak kita merdeka. Malah kita memang inginkan UMNO terus memerintah kerana takut jika Malaysia miskin atau musnah jika jatuh ke tangan orang memperjuangkan Islam. Kita mempunyai imaginasi yang melampau ke arah sesuatu yang tidak pasti berbanding berimaginasi yang menggerunkan jikalau bangsa melayu terus bersikap sebegini.

Sampailah bilakah imaginasi yang tidak pasti itu akan berakhir ?

Renung-renungkan, fikir-fikirkan?..

Sekian.

Coretan: amirulreza (http://kelatedaily.net)

DiHantar bakong02 at 7:16 AM WST
Updated: Friday, 4 March 2005 7:27 AM WST
Anwar punya peranan besar untuk keamanan - Kofi Annan
WASHINGTON, 3 Mac (Hrkh) - Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan meminta Dato? Seri Anwar Ibrahim memainkan peranan sebaik mungkin untuk keamanan global.
Anwar yang kini berada di Amerika mengadakan pertemuan selama 45 minit dengan pemimpin dunia itu pada 1 Mac lepas.

Turut bersama dalam lawatan ini ialah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Ismail, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar, Khalid Jaafar dan Naib Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

?Annan meminta Anwar supaya dapat bersama-sama menyumbangkan peranan yang lebih besar di pentas dunia untuk mewujudkan suasana yang lebih aman dan harmoni khususnya di antara Islam dan Barat,? kata Azmin melalui kenyataan kepada Harakahdaily.

Annan adalah di kalangan pemimpin dunia yang menyuarakan pandangan beliau terhadap layanan buruk yang diberikan kepada Anwar semasa di dalam tahanan dan juga prihatin terhadap kebebasan kehakiman di Malaysia.

Sebelum ini, Anwar yang kini menjadi Pensyarah Kehormat di Oxford University, London telah melakukan lawatan kerja ke Arab Saudi, Afrika Selatan, Indonesia, Abu Dhabi dan Qatar.

Anwar dan rombongan yang tiba dari London di Lapangan Terbang Washington Dulles 23 Februari lepas dan disambut oleh pegawai-pegawai yang diketuai oleh Edward J.Bolton, Timbalan Pengarah dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat.

Anwar mahu tentera AS segera keluar dari Iraq

Sebelum itu, pada 24 Februari, Anwar mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Paul Wolfowitz, di Pentagon.

Menurut Azmin, perbincangan selama satu jam ini memberi tumpuan kepada perkembangan pasca pilihan raya di Iraq, konflik di antara Barat dan Islam serta program pembangunan semula Acheh.

Walaupun perbincangan berjalan dalam suasana yang harmoni namun Anwar menegaskan perbedaan pandangan beliau mengenai pendekatan Amerika dalam menangani persoalan keganasan global, katanya.

?Anwar mahu Amerika mengambil pendekatan ?constructive engagement? dalam menjalin hubungan dengan negara-negara Islam; dan tidak dilihat sebagai angkuh dengan pendekatan keras dan mengenepikan muafakat dan tidak mengambil pendekatan unilateral yang menjadi amalan pentadbiran Bush hari ini.

?Beliau sekali lagi menegaskan pendirian beliau yang mahu tentera Amerika segera meninggalkan bumi Iraq, mendukung desakan pengunduran tentera Syria dari Lebanon dan tentera Israel dari tanah Palestin,? kata Azmin.

Dalam pertemuan itu, mantan Timbalan Perdana Menteri itu juga memberi tahu Wolfowitz supaya membetulkan pandangan serong mereka terhadap ulama terkemuka Sheikh Yusuf al-Qardawi.

Tahun lepas, Amerika menuduh ulama terkemuka itu mengeluarkan fatwa membenarkan pembunuhan rakyat Amerika dan orang awam.

?Anwar menjelaskan bahawa Qardawi menafikan berbuat demikian ketika beliau bertemu ulama itu di Qatar beberapa bulan lalu dan laporan mengenai pengeluaran fatwa itu adalah tidak benar dan berniat jahat,? kata Azmin.

Anwar menambah, Qardawi adalah seorang ulama? besar yang sentiasa mengambil pendekatan yang sederhana dan terbuka kepada dialog dan perbincangan.

Beliau juga memberitahu Wolfowitz bahawa sebarang perbedaan pendapat tidak wajar menjurus kepada ketegangan.

Anwar kini aktif mengadakan dialog dan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin kerajaan di Barat dan Timur Tengah dalam usaha beliau untuk menggalakkan peningkatan kefahaman mengenai tamaddun dan agama.

-ER/zs

DiHantar bakong02 at 7:14 AM WST
Updated: Friday, 4 March 2005 7:27 AM WST
Tuesday, 16 November 2004
Selesaikan masalah dalaman dahulu sebelum Umnokan Kelantan
Topic: Politik
KOTA BHARU, 12 Nov (Hrkh) - Umno diminta menyelesaikan dahulu konflik dalamannya sebelum berangan-angan mahu mengumnokan Kelantan.

Timbalan Menteri Besar, Ustaz Ahmad Yakob berkata, isu mahu mengUmnokan Kelantan bukan perkara baru kerana ia sudah diperkatakan sejak tahun 1990 lagi.

"Kita boleh lihat sendiri kenyataan demi kenyataan media dikeluarkan bagi mengUmnokan Kelantan sejak dahulu sehingga sekarang. Namun rakyat negeri ini mempunyai jawapan yang berlainan,"katanya di sini.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, parti itu berhasrat mengUmnokan Kelantan keseluruhannya sebelum pilihan raya umum akan datang.

Menurutnya, gandingan kepemimpinan Umno negeri yang diterajui Annuar Musa, dibantu Dr Awang Adek Hussin dan pengalaman Mustapa Mohamed diyakini usaha itu akan menjadi kenyataan.

Ahmad berkata, kekerapan perubahan pucuk pimpinan Umno negeri sudah mampu memberi isyarat awal pergolakkan dalaman yang berlaku dalam parti tersebut.

Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Mohd Amar Abdullah pula menasihatkan Umno menjaga hal ehwal parti itu terlebih dahulu sebelum mahu mengUmnokan orang lain. Katanya juga, petunjuk yang digunakan parti itu berdasarkan prestasi yang berlaku pada pilihan raya umum lalu tidak boleh dijadikan ukuran mutlak memandangkan banyak penyelewengan yang dikesan wujud.

"Biar pun mereka nyaris-nyaris menawan negeri ini, namun kekuatan itu banyak dibantu unsur-unsur lain yang ada dalam kerajaan dan bukan jentera parti sendiri.

"Sekiranya tiada bantuan tersebut, Umno sukar melakukan sentuhan keramat seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu,"katanya.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, pertukaran Pengerusi Perhubungan Umno Negeri baru-baru ini tidak mencerminkan semangat Islam Hadhari yang diuar-uarkan mereka sebelum ini.

Katanya, kepemimpinan Mustapa lebih dekat dengan konsep tersebut berbanding pengerusi yang dilantik baru-baru ini.

"Ini memberi gambaran awal, konsep yang dilaungan tersebut tidak mampu diterjemahkan dalam bentuk tindakan,"katanya.

Annuar ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar dikaitkan dengan penyelewengan wang program pembangunan rakyat termiskin melibatkan peruntukan puluhan juta.

Malah kereta Mercedes mewah miliknya, yang bernombor pendaftaran WCE 1 dilaporkan media ditahan Badan Pencegah Rasuah beberapa tahun lalu. - MJ/zs


DiHantar bakong02 at 5:39 PM WST
Thailand marah Abim kutip derma Tak Bai
BANGKOK: Menteri Dalam Negeri Thailand Bhokin Bhalakula mempersoalkan laporan mengenai usaha sebuah pertubuhan Islam Malaysia memungut derma untuk keluarga 85 tahanan Islam yang mati bulan lalu di Tak Bai, dan menuduh badan itu mencampuri urusan dalam negara Thailand.



Dengan menafikan mengetahui laporan bahawa Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sudah menyerahkan sumbangan 530,000 baht kepada pemimpin agama di Narathiwat, menteri berkenaan menegaskan jika laporan itu benar, derma terbabit tidak akan diterima.

Agensi berita Thailand (TNA) melaporkan semalam, ulasan beliau dibuat berikutan laporan akhbar New Straits Times, Abim sedang mengumpulkan derma berjumlah sejuta ringgit bagi membantu keluarga perusuh yang mati dalam tahanan pasukan keselamatan Thailand pada 25 Oktober lalu selepas rusuhan di balai polis daerah Tak Bai.

Sambil menyifatkan adalah tidak wajar bagi kumpulan Islam Malaysia mencampuri hal ehwal dalam negara Thailand, Bhokin berkata:"Kami tidak mahu pertubuhan luar terbabit dalam urusan negara Thailand. Begitu juga badan dalam negara Thailand tidak patut berbuat begitu di negara luar."

Beliau menegaskan kerajaan Thailand sudah memberikan pampasan kepada keluarga penduduk Islam yang mati di Tak Bai.

Menteri itu juga menggesa media supaya menyiarkan berita yang sama rata mengenai kejadian di wilayah selatan negara itu. Beliau mendakwa wartawan hanya menumpukan kepada keganasan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tanpa melaporkan tindakan yang dilakukan oleh militan di selatan negara itu. - Agensi

DiHantar bakong02 at 4:43 PM WST
Monday, 15 November 2004
MarangDaily -- Terbitan DPP Marang Terengganu




Marang, DPP Marang telah menerbitkan MarangDaily yang memuatkan berita-berita
semasa dalam dan luar negeri. Boleh dilawat melalui:


htpp://marangdaily.net


Sekian Harap Maklum

DiHantar bakong02 at 6:17 PM WST
Updated: Friday, 4 March 2005 7:21 AM WST
Keluarga Mad Nawi Che Haron Website
http://geocities.com/madnawi















Dari Belakang: Mad Nawi , Nik Saodah

Depan: Firdaus , Atikah , Nasuha
alamat kami:

Lot 1238 Kampong Bakong 17000 Pasir Mas Kelantan




DiHantar bakong02 at 5:51 PM WST
Updated: Saturday, 5 March 2005 1:00 PM WST
MPPUUM Bantu Penderitaan Wan Azro Ladya Bin Azahari
Oleh Mohd Azhar Mahmud


Pada 29 Mac hingga 1 April 2004 Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia telah mengadakan satu lawatan amal "Deligasi MPPUUM Ke Pantai Timur". Lawatan ini disertai 21 orang terdiri daripada 19 Exco MPP dan 2 setiausaha Exco MPP.

Tujuan utama lawatan amal ini adalah untuk menyerahkan sumbangan kepada saudari Wan Azro Ladya Azahari yang cedera selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Sintok pada 30 November lalu. Kemalangan yang turut mengorbankan bapanya Azahari Dollah berlaku ketika mereka dalam perjalanan balik ke UUM selepas cuti Hari Raya Aidilfitri.

Sumbangan hasil kutipan daripada pelajar dan kakitangan UUM itu diserahkan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Prof. Madya Mustafa Ishak pada 30 Mac di rumahnya di Kampung Bakong, Kelantan.

Selain menyampaikan sumbangan kepada Wan Azro Ladya, MPPUUM mengadakan lawatan ke Politeknik Kota Bahru (PKB) dan menginap di sana. Pelbagai aturcara telah diatur bagi merapatkan tali silaturrahim antara MPPUUM dengan Jawatankuasa Perwakilan Pelajar Politeknik tersebut (JPPPKB).

Pada hari pertama di politeknik, acara sukaneka telah diadakan. Sebanyak 4 kumpulan telah dibentuk. Di sebelah malam sesi memperkenalkan diri antara MPPUUM dengan JPPPKB telah diadakan.

MPPUUM mengadakan satu diskusi dengan JPPPKB untuk membina satu resolusi yang bertajuk `Peperiksaan di IPT: Exam Oriented atau Aplikasi Kerjaya?'. Perbincangan yang diadakan sangat memberangsangkan.

Pada 1 April, setelah selesai acara penutup, MPPUUM telah pergi ke Sek. Men. Sultan Ibrahim II di Pasir Mas untuk mengadakan sesi motivasi kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan STPM tidak lama lagi.


DiHantar bakong02 at 5:42 PM WST
Updated: Monday, 15 November 2004 6:25 PM WST
Ramai Penduduk Bakong Pulang Berhari Raya
Topic: Hari Raya












Sambutan hari raya 2004 sangat meriah kerana ramai anak2 bakong yang berada di peratantau pulang berhari raya:

Kelaurga Mariam Daud:
Semua anak2 telah pulang.Termasuklah Mad Nawi,Mahadi,MNeran dan Maimun.

Keluarga Cikgu Nikman
Cuma anaknya Nik Muhamad tidak pulang kerana belajar di Mesir

Keluarga Paknik Shari
Semua anak2 nya pulang termasuk Cikgu Deris dan mimah,Rahim dan isterinya Raihan,

DiHantar bakong02 at 5:35 PM WST
Updated: Monday, 15 November 2004 6:26 PM WST
Sekadar Renungan
Topic: Agama
Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahwa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara. Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan." Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut. Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disadari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku." Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahwa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu. Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa saja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahwa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahwa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

DiHantar bakong02 at 4:27 PM WST

Newer | Latest | Older